Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata golongan muda harus diberi peluang bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan 5 Okt depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO itu berkata UMNO Pulau Pinang akan memberi sokongan kepada golongan muda kerana mereka adalah barisan pelapis.

Dr Hilmi, yang juga Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, berkata beliau sendiri tidak akan bertanding bagi merebut sebarang jawatan dalam kepimpinan pusat parti.

"Saya pernah dua kali jadi MT dan cukuplah, saya tidak mahu bertanding lagi dan kita bagi sokongan kepada orang muda untuk bertanding," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) di sini Isnin.

Bagaimanapun, beliau akan mempertahan jawatan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau dan ingin mengadakan rundingan di peringkat akar umbi agar semua jawatan utama kepimpinan UMNO bahagian itu tidak ditandingi.

Dr Hilmi pernah memenangi jawatan MT UMNO pada 2000 dan 2003 ketika menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.