Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood mengharumkan nama negara setelah dinobat sebagai penerima Anugerah Isa pertama oleh Emir Bahrain.

Anugerah yang membawa hadiah wang tunai RM3 juta bersama pingat emas diterima Dr Jemilah dalam satu upacara khas dari Raja Bahrain Hamad bin Isa Al-Khalifa di Manama, ibu negara Bahrain pada Ahad.

Dr Jemilah dipilih dari lebih seratus individu dan pertubuhan di serata dunia yang menggerakkan kerja amal berteraskan bantuan kemanusiaan merentas sempadan.

Hadiah yang diberi nama Anugerah Isa untuk perkhidmatan dan kemanusiaan diwujudkan pada tahun 2009 oleh kerajaan Bahrain sebagai penghormatan memperingati Shaikh Isa bin Salman Al Khalifa, Emir Bahrain yang memerintah selama 38 tahun bermula 1961.




Emir Isa yang meninggal dunia pada tahun 1999 dikenang atas usaha pembangunan ekonomi dan pemodenan Bahrain berserta pengwujudkan pelbagai institusi kenegaraan penting.

Sejurus menerima anugerah, Dr Jemilah mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Bahrain kerana mengetengahkan usaha pemuliharaan pasca bencana yang diterajui Mercy Malaysia.

Beliau yakin pengiktirafan yang mirip Hadiah Nobel ini akan menggalakkan penglibatan yang lebih efektif dan menyeluruh dalam usaha menghulur dan mengurus bantuan kemanusiaan di serata dunia.