Dr M buat kejutan di Pekan Rabu

Bernama
Jun 2, 2018 21:52 MYT
Dr Mahathir mencuba songkok yang dijual untuk digayakan pada hari Lebaran di kedai Sardi (dua, kiri) ketika mengunjungi Pekan Rabu Alor Setar, 2 Jun, 2018. --fotoBERNAMA
Kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ke kompleks perniagaan Pekan Rabu petang semalam mengejutkan orang ramai yang sibuk membeli barangan persiapan menyambiut Aidilfitri tidak lama lagi.
Namun, bagi Sardi Dahar, 60 tahun, ia bukan sesuatu yang pelik kerana Dr Mahathir sering berkunjung ke gerainya setiap tahun untuk membeli songkok hasil tangannya di situ.
"Setiap tahun, Tun Dr Mahathir dari menjadi Perdana Menteri, kemudian berhenti dan menjadi PM sekali lagi, dia tak pernah lupa datang beli songkok di sini. Dan saiz kepalanya kali ini 22 inci.
" Lagipun, songkok buatan tangan saya halus, kemas, ringan dan boleh dilipat.
" ... Songkok ni pun jenama Songkok Style Tun, pastinya beliau tak lepaskan peluang membeli songkok yang diamanahkan kepada saya menjaga kualitinya yang tidak ada pada orang lain " katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.
Selain membeli songkok, Dr Mahathir turut membuat tempahan baju Melayu di premis bersebelahan dan membeli pelbagai jenis kuih raya di gerai tingkat dua bangunan berkenaan.
BACA: Songkok Style Tun dapat permintaan tinggi selepas PRU
Katanya, mengikut jadual asal, perdana menteri sepatutnya datang pada Ahad namun beliau datang lebih awal semalam.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir turut membeli songkok di premis Sardi.
BACA: Pekan Rabu perlu pelbagaikan perniagaan - Tun Mahathir
Sementara itu, orang ramai yang turut mengambil kesempatan bersalaman serta bergambar dengan beliau yang menghabiskan masa hampir dua jam di kompleks perniagaan itu.
Seorang pengunjung, Syed Mohd Fariz Syed Shabthal, 42 tahun, berkata, beliau sempat berswafoto dengan Perdana Menteri sebaik tiba di Kompleks Pekan Rabu pada 3.40 petang tadi.
"Sampai saja Dr Mahathir, saya terkejut sebab dia mai (datang) mengejut dan saya rasa bertuah sebab beliau sudi bersalaman dan bergambar dengan saya.
"Orang Kedah cukup bertuah kerana beliau anak Kedah yang pertama menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali," katanya.
--- BERNAMA
#Aidilfitri #baju melayu #Kedah #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #Pekan Rabu #Perdana Menteri #songkok