Dr Mahathir bertemu MB Johor

Astro Awani
April 18, 2019 04:49 MYT
Dr Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong itu dipilih menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan sebagai menteri besar Johor pada 8 April lalu. - Gambar Facebook Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerima kunjungan hormat Menteri Besar Johor yang baharu dilantik, Dr Sahruddin Jamal di pejabatnya di Putrajaya pagi Khamis.
Pertemuan ini merupakan yang pertama selepas Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada 14 April yang lalu.
Dr Mahathir berkongsi gambar pertemuan dengan Dr Sahruddin itu di laman Facebook rasminya.
Dr Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong itu dipilih menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan sebagai menteri besar Johor pada 8 April lalu.
Ketika pentadbiran Osman, Dr Sahruddin merupakan exco kerajaan Johor yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.
Dilahirkan pada 26 Mei 1975, beliau yang berusia 43 tahun adalah doktor perubatan lulusan Sarjana Perubatan dari Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia.
Sebelum menceburi bidang politik, beliau membuka kliniknya sendiri iaitu Klinik Dr Sahruddin di Bukit Pasir, Pagoh.
#Bukit Kepong #Dr Mahathir Mohamad #Dr Sahruddin Jamal #Johor #Menteri Besar #Perdana Menteri