Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Dr Mahathir gesa kes Zara Qairina diselesaikan berdasar 'rule of law'

Astro Awani 16/08/2025 | 10:34 MYT
Tun Mahathir semasa ditemui pemberita selepas pelancaran buku Surat-Surat Muhammad Asad Yang Belum Disiarkan, di HARTA Space, di sini pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
AMPANG: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berharap isu Allahyarham Zara Qairina Mahathir dapat diselesaikan berdasarkan 'rule of law' (kedaulatan undang-undang).


Ringkasan AI
  • Tun Dr Mahathir menyeru agar kes kematian Zara Qairina diselesaikan mengikut prinsip 'rule of law', bagi mengelakkan kekacauan dan memastikan keadilan ditegakkan.
  • Beliau menegur pihak berkuasa, khususnya PDRM, agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP), termasuk keperluan bedah siasat yang sepatutnya dilakukan sejak awal.
  • Kes Zara Qairina terus mendapat perhatian nasional, dengan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri memberi jaminan siasatan telus, serta rakyat menunjukkan solidariti melalui himpunan di seluruh negara.


Dr Mahathir berkata seandainya perkara tersebut tidak dapat dipatuhi maka keadaan akan menjadi kucar-kacir.

“Bagi saya kita nak buat apa-apa kita ikut 'rule of law 'kalau kita tak ikut jadi kucar-kacir lah,” katanya semasa ditemui pemberita selepas pelancaran buku Surat-Surat Muhammad Asad Yang Belum Disiarkan, di HARTA Space, di sini pada Sabtu.

Tokoh berusia 100 tahun itu turut menegur pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar bertindak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar yang mengesahkan wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh Pegawai Penyiasat PDRM berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha itu.

“Sepatutnya daripada awal lagi kes macam itu perlu ada post-mortem (bedah siasat), tetapi nampak macam hendak sembunyi sebab-sebab kematian, sepatutnya perkara yang seperti ini tidak berlaku, pihak polis tidak boleh pilih-pilih, siapa saja yang jadi macam itu dia kena post-mortem,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini juga menegaskan bahawa tiada sesiapa yang terlibat dalam kes kematian Allahyarham Zara akan terlepas daripada siasatan dan tindakan undang-undang.

Manakala, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan memberi penjelasan berhubung kes tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin.

Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada pukul 4 pagi.

Susulan kematiannya, orang ramai mengambil inisiatif berhimpun untuk menyatakan simpati kepada beliau di seluruh bandar-bandar utama setiap negeri.





#bedah siasat #Mahathir Mohamad #Zara Qairina Mahathir #PDRM #rule of law