Dr Mahathir hadiri majlis pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia esok

Bernama
Oktober 19, 2019 01:59 MYT
Layar besar menunjukkan wajah Joko Widodo dan Ma'ruf Amin pada satu majlis penerangan mengenai Visi Indonesia di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, 14 Julai, 2019. REUTERS/Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan kerja ke Jakarta, Indonesia esok (20 Okt) untuk menghadiri Majlis Pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia bagi penggal 2019 - 2024 di Majelis Permusyawaratan Rakyat.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini, Dr Mahathir akan diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta para pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar.
Lawatan ini melambangkan keakraban serta keteguhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia, dan akan menyumbang ke arah mengukuhkan lagi jalinan persahabatan di antara kedua-dua negara yang telah lama terbina.
Di majlis itu Joko Widodo, yang lebih dikenali dengan panggilan mesra Jokowi, akan mengangkat sumpah jawatan sebagai presiden republik itu sementara Ma'ruf Amin pula sebagai naib presiden.
-- BERNAMA
#Indonesia #Jakarta #Joko Widodo #Kementerian Luar #Ma'ruf Amin #Mahathir Mohamad #Majlis Pelantikan #Naib Presiden Indonesia #Presiden Indonesia #Saifuddin Abdullah