Dr Mahathir hadiri taklimat tertutup pembangunan Sarawak

Bernama
Julai 15, 2018 00:25 MYT
Dr Mahathir mengadakan lawatan pertama ke Sarawak selepas menjadi perdana menteri kali kedua susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menghadiri taklimat tertutup pembangunan Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya di sini.
Taklimat disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Terdahulu, ketibaan Dr Mahathir di Wisma Bapa Malaysia, bangunan pentadbiran kerajaan negeri kira-kira 7.55 pagi, disambut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg dan barisan menteri Kabinet Sarawak.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tiba di Kuching sejak semalam, lawatan pertama beliau ke negeri ini selepas menjadi perdana menteri kali kedua susulan kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Semalam, beliau dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan cucu Pengerusi Tenaga Nasional Berhad Tan Sri Leo Moggie.
-- BERNAMA
#Abang Johari Openg #Kuching #lawatan #Mahathir Mohamad #Mohamad Morshidi Abdul Ghani #Sarawak #Siti Hasmah Mohd Ali #taklimat #Wisma Bapa Malaysia