Dr Mahathir, isteri sembah takziah atas kemangkatan Sultan Ahmad Shah

Kenyataan Media
Mei 22, 2019 07:23 MYT
Dr Mahathir meninggalkan Balairung Seri selepas memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad di Istana Negara hari ini. Turut kelihatan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. --fotoBERNAMA
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali merakamkan sembah takziah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan seluruh kerabat Diraja Pahang atas kemangkatan Almarhum ayahandanya.
Dr Mahathir mendoakan roh Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah, yang mangkat pagi tadi dicucuri rahmat.
“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang- orang yang beriman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Dr Mahathir akan menziarahi jenazah Almarhum Sultan Pahang ke-V di Istana Negara jam 4 petang ini.
Sultan Ahmad Shah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi tadi.
#IJN #Institut Jantung Negara #Mahathir Mohamad #Siti Hasmah Mohamad Ali #Yang di-Pertuan Agong