Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah membuat keputusan bahawa beliau tidak akan lagi bertanding untuk Pilihan Raya Umum seterusnya (PRU15).

Ahli Parlimen Langkawi berusia 95 tahun itu, dalam satu wawancara bersama agensi berita Kyodo berkata, beliau bagaimanapun akan kekal dalam arena politik untuk tempoh masa yang pendek.

Ujar Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu, walaupun beliau tidak akan lagi bertanding, tetapi itu tidak akan menghalang usahanya melawan gejala rasuah melalui parti baharunya, iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“Saya mahu sedikit masa lagi, tetapi saya fikir saya hanya akan berkhidmat untuk tempoh masa yang pendek. Tetapi saya tidak akan bertanding dalam PRU ke-15,” katanya dalam wawancara itu.

Untuk rekod, Dr Mahathir merupakan Perdana Menteri paling lama berkhidmat untuk Malaysia, iaitu dari 1981 hingga 2003 (22 tahun), dan kali kedua dari 10 Mei 2018 hingga 1 Mac 2020 (22 bulan).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kubang Pasu yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Kota Setar Selatan, dan kini sebagai Ahli Parlimen Langkawi.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mendakwa, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamalkan gaya pemerintahan yang korup.

Katanya, keadaannya serupa dengan Barisan Nasional yang telah Pakatan Harapan kalahkan pada 2018.

“Selama tiga bulan PN menjadi kerajaan, saya tidak beri sebarang komen kerana saya mahu lihat prestasi mereka. Malang sekali, ia kembali kepada cara korup, membeli sokongan.

"Walaupun begitu, PN hanya mempunyai majoriti dua kerusi sahaja,” katanya lagi.