NATIONAL
Dr Zulkifli rakam ucapan takziah atas pemergian Pope Francis

Dr Zulkifli memaklumkan pernah diberi peluang berdialog secara langsung dengan Pope Francis dan kepimpinan tertinggi Gereja Katolik Roman di Bahrain kira-kira dua tahun lalu. - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR : Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri merakamkan ucapan takziah kepada seluruh penganut Katolik di Malaysia dan di seluruh dunia susulan pemergian Ketua Gereja Katolik Roman, Pope Francis pada Isnin.
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau berkata mendiang dikenang sebagai pemimpin agama yang sederhana, berani menyuarakan keadilan dan konsisten memperjuangkan kemanusiaan sejagat termasuk dalam membela nasib rakyat Palestin serta golongan tertindas di seluruh dunia.
“Legasi beliau dalam dialog antara agama dan seruan kepada hidup yang sederhana akan terus dikenang,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, beliau mengikuti perkembangan kepimpinan Gereja sejak era Pope Saint John Paul II yang terkenal dengan kepetahan berpidato, Pope Benedict XVI yang merupakan ilmuwan sejati teologi Kristian dan kini Pope Francis yang menjuarai isu penindasan masyarakat rentan.Beliau yang juga Bekas Mufti Wilayah Persekutuan turut memaklumkan pernah diberi peluang berdialog secara langsung dengan Pope Francis dan kepimpinan tertinggi Gereja Katolik Roman di Bahrain kira-kira dua tahun lalu.
Ujar Dr Zulkifli, Islam mengajarkan keadilan dan ihsan kepada semua manusia.
Kata beliau, dalam mazhab Syafie, antara lafaz takziah untuk bukan Muslim ialah “Moga Allah mengganti kehilanganmu dengan kebaikan yang lebih indah, dan tidak mengurangkan bilangan insan yang dikau kasihi di sisimu.”
Beliau turut mendoakan agar komuniti Katolik di Malaysia dikurniakan ketabahan, dan menekankan bahawa umat manusia berkongsi bumi dan kemanusiaan yang sama.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami