KUALA LUMPUR: Draf Dasar Perfileman Negara kini sudah 80 peratus siap, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Beliau berkata gerak kerja berkenaan dasar tersebut telah bermula tahun lepas dan satu pemukiman bersama persatuan-persatuan perfileman negara akan dilakukan bagi menerima maklum balas draf.

"(Kemudian) kita (Finas) akan serahkan kepada peguam untuk menyesuaikan dengan istilah-istilah guaman dan akan dibentangkan buat kali terakhir dalam mesyuarat pengurusan tertinggi di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sebelum kelulusan Kabinet," katanya kepada pemberita di Sidang Media Hari Seniman Kebangsaan (HSK) 2023 di sini pada Sabtu.

Terdahulu, dilaporkan bahawa KKD sedang meneliti Dasar Perfileman Negara bagi melihat aspek yang memerlukan penambahbaikan dalam usaha merangsang perkembangan industri kreatif negara pascapandemik COVID-19.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata ia melibatkan beberapa perkara khusus bukan sahaja berkait pemain industri kreatif tempatan malah usaha menarik produksi luar ke Malaysia dan langkah itu penting dalam memperkasakan sektor yang berpotensi untuk menarik kemasukan pelaburan yang berpotensi mencecah nilai lebih RM1 bilion dalam tempoh beberapa tahun.

Dalam pada itu, HSK 2023 yang dianjurkan Finas pada 20 Mac ini dengan bertemakan 'Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian' bertujuan mengiktiraf golongan seniman, budayawan dan karyawan seni serta budaya tanah air kepada pembangunan negara.

Selain itu, HSK 2023 bakal meningkatkan kecemerlangan seni dan budaya ke tahap yang lebih tinggi, meningkatkan kesedaran dan apresiasi masyarakat kepada peranan seni budaya serta mewujudkan masyarakat Malaysia yang berjati diri dan menghargai seni budaya.

"Inisiatif sambutan HSK merupakan penghargaan kerajaan Malaysia dalam meraikan sumbangan penggiat industri kreatif yang terlibat dalam bidang seni khususnya pelakon, pemuzik, penyanyi, pelukis, pengukir, penyajak, penulis, penyiar dan lain lain," menurut Md Nasir.

-- BERNAMA