Draf Transformasi Parlimen: Larang MP, Senator berdepan pendakwaan mahkamah sertai persidangan
Harits Asyraf Hasnan
September 30, 2021 19:36 MYT
September 30, 2021 19:36 MYT
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat dan Dewan Negara mempunyai hak untuk melarang mana-mana ahlinya yang sedang berdepan pendakwaan mahkamah daripada mengambil bahagian dalam persidangan kedua-dua Dewan sehingga kes selesai.
Itu antara cadangan dikemukakan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang terkandung dalam draf Rang Undang-Undang dan Memorandum Jemaah Menteri mengenai Transformasi Parlimen.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, kedua-dua Dewan juga sedang meneliti untuk menggubal sebuah kod etika khas bagi Ahli Parlimen.
Bagaimanapun, cadangan ini masih diperingkat awal dan akan dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuk Ahli-ahli Parlimen, Senator, pihak berkepentingan serta Jabatan Peguam Negara.
"Segala transformasi yang sedang rancak diusahakan ini adalah selari dengan Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021 lalu, yang antara lain adalah memberi fokus kepada transformasi Parlimen itu sendiri.
"Sehubungan itu, satu interaksi dan taklimat khas mengenai perincian transformasi Parlimen ini akan dibuat kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan para Senator dalam masa terdekat bagi memastikan usaha murni ini dapat dihayati dan dilunaskan dengan sebaik mungkin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan beliau mewakili Dewan Negara dan Dewan Rakyat selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Transformasi Parlimen bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Jelasnya, Wan Junaidi telah menyatakan pendirian menyokong penuh langkah meminda dan memperkasakan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.
Menurutnya, ia supaya konsep pengasingan kuasa antara legislatif dan eksekutif benar-benar dapat dijelmakan sebagai mana termaktub dalam Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan.
"Langkah meminda, memperkasa dan mengembalikan semula kedua-dua akta ini akan menyaksikan Parlimen tidak tertakluk lagi di bawah kuasa eksekutif serta membolehkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas baharu yang mempunyai kuasa perundangan diwujudkan dalam masa terdekat," katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pentadbir Parlimen, Nor Yahati Awang serta kedua-dua Setiausaha Dewan Negara dan Rakyat.