Terkini: Kes Kematian pelatih Palapes UTM – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

‘Dry run’ sistem pemeriksaan awal penumpang hujung tahun ini - Saifuddin

Faida Rahim 26/08/2025 | 07:03 MYT
Saifuddin Nasution (foto) berkata, operasi berkenaan membabitkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia. -Astro AWANI
SEPANG: Pelaksanaan ‘dry run’ sistem pemeriksaan awal penumpang (APSS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sistem memberi maklumat ketibaan pengembara lebih awal sebelum tiba di negara ini dijangka bermula pada hujung tahun ini.


Ringkasan AI
  • Sistem pemeriksaan awal penumpang (APSS) akan mula diuji secara dry run di KLIA hujung tahun ini, melibatkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan.
  • APSS membolehkan maklumat penumpang seperti nama, nombor pasport dan tempat duduk diperoleh sebelum ketibaan, bagi meningkatkan kawalan keselamatan dan mengurangkan insiden NTL.
  • Sistem ini dibangunkan oleh vendor dilantik KDN dan dipantau oleh ICAO untuk memastikan pelaksanaan mengikut piawaian antarabangsa.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, operasi berkenaan membabitkan 10 daripada 56 syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia.

“Akhirnya kita akan ada APSS, dari sudut agensi kawalan adalah di bawah KDN, dari sudut perolehan (juga) dibuat oleh KDN. Kita sudah selesaikan perolehan, vendor telah dilantik dan mereka sedang membangunkannya.

Dry run kita adalah hujung tahun ini. Saya jangka bulan 9 atau 10 tahun ini, di sini (KLIA) ada lebih kurang 56 syarikat penerbangan yang beroperasi.

"Jadi untuk ‘kick off’ kita akan buat dulu melibatkan 10 syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran inisiatif Benteng Persada: Di Sempadan Kita Bersatu, di Persada Kita Bermaruah oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Sepang pada Selasa.

Tambah Saifuddin, sistem berkenaan dipantau oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan organisasi berkenaan sebelum ini telah beberapa kali hadir ke negara dalam memastikan dari sudut kepatuhan pelaksanaan APSS mengikut jadual.

“Selain dapat butiran awal mengenai para penumpang, sistem berkenaan juga akan dapat mencegah insiden keselamatan.

“Pengembara yang masuk ke (negara) ini dengan menggunakan 10 syarikat penerbangan tersebut akan mengguna pakai sistem tersebut.

"Maknanya nama penumpang, nombor pasport, tempat duduk dia atau makanan yang dia pesan semua itu ada dalam butiran (sistem),” katanya.

“Kelebihan kita akan tahu butiran sebelum pengguna terbang. Jadi itu sendiri akan mengurangkan insiden seperti NTL (not to land) dan isu keselamatan akan lebih mudah kita mitigasi,” ujarnya.






#KDN