MALAYSIA

Dua ADUN Sabah dapat pasport sementara empat bulan

Yasmin Natasha 23/09/2025 | 04:50 MYT
Peguam Ram Sing (kanan) tekun mendengar anak guamnya, Dr Yusof (kiri) menjawab soalan wartawan.
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa mereka buat sementara waktu bagi tujuan urusan kerja.

Hakim Jason Juga membuat keputusan itu selepas peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy memaklumkan, kedua-dua anak guamnya memohon menggunakan pasport tersebut selama empat bulan atas faktor tuntutan tugas.

“Saya ingin memohon agar pasport kedua-dua individu dipulangkan atas alasan mudah bahawa selama tempoh empat bulan mereka perlu melakukan perjalanan ke luar negara berdasarkan tuntutan pekerjaan, melawat ke pelbagai destinasi serta menghadiri urusan bersama institusi masing-masing.

"Oleh itu, mereka memerlukan pasport untuk tujuan perjalanan.

"Pasport akan dipulangkan semula pada akhir tempoh empat bulan. Beliau juga memaklumkan kepada saya bahawa beliau akan mengemas kini mengenai keberadaannya dari semasa ke semasa," kata Ram Singh.

Hakim Jason kemudian membenarkan dan memerintahkan agar pasport dipulangkan semula kepada mahkamah pada atau sebelum 23 Januari.

Dalam pada itu, hakim menolak permohonan peguam Ram Singh untuk mengenakan gag order terhadap ahli perniagaan berpangkalan di Selangor, Datuk Albert Tei, yang didakwa menawarkan rasuah berjumlah RM350,000 berkaitan permohonan lesen penerokaan mineral di Sabah.

Dalam permohonannya, Ram berkata, gag order diperlukan bagi menghalang Tei daripada mengadakan sidang media yang boleh menjatuhkan maruah atau memalukan mana-mana pihak yang dianggap menentangnya.

“Saya juga percaya terdapat siasatan berterusan berhubung kenyataan beliau yang dibuat selepas prosiding mahkamah sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Tei yang dilarang memasuki negeri ini sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Isnin (22 September) akan dikeluarkan notis sebutan tarikh perbicaraan seterusnya.

Peguamnya, Edward Paul turut meminta pengesahan bahawa arahan larangan tersebut bukan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pihak pendakwaan mengesahkan larangan itu bukan daripada SPRM.

Sebutan kes akan bersambung pada 21 Oktober ini bagi Yusof dan Andi serta 24 Oktober bagi Tei.

Andi dan Dr Yusof masing-masing didakwa menerima rasuah daripada ahli perniagaan Tei berkaitan permohonan lesen yang berasingan, manakala Tei pula menghadapi dua pertuduhan memberi rasuah kepada kedua-dua ADUN tersebut.

Dr Yusof didakwa menerima rasuah dari Tei RM200, 000 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Nusa Kini Sdn. Bhd. bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah pada 6 Mac 2023, jam lebih kurang jam 2 petang, bertempat di Rooftop Bar & Grill @ Hilton Kota Kinabalu.

Andi, didakwa secara rasuah menerima suapan berupa wang tunai berjumlah RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan untuk membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah pada 12 Mei 2023, jam lebih kurang 11 malam bertempat di hadapan kediaman tertuduh di Jalan Pantai Sembulan.

Tei, 37, dari Selangor, didakwa memberikan suapan RM200, 000 dan RM150, 000, masing-masing kepada Dr Yusof dan Andi sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah untuk dua buah syarikat.

Dr Yusof dan Andi didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, manakala Tei didakwa di bawah Seksyen 16(b)(A) akta yang sama.

Semua kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.



#SPRM #Rasuah #ADUN #pasport antarabangsa