BUKIT MERTAJAM: Dua peminjam wang haram atau Ah Long mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengurung dan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki yang juga peminjam wang ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, hari ini.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh Wong Yu Yang, 26, dan Tan Jun Xian, 22, bersama-sama pada 20 Disember 2022 di Jalan Kelasah, Seberang Jaya, telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Low Chong Yeow, 31.

Dengan itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) iaitu mendatangkan kecederaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama pada tarikh dan tempat sama telah mengurung mangsa secara salah di lokasi sama dengan tujuan agar mangsa membayar semula wang pinjaman.

Dengan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 365 KK yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Selain itu, Yu Yang turut didakwa mengikut Seksyen 385 KK kerana melakukan peras ugut ke atas mangsa.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan.

Seorang lagi lelaki yang ditahan bersama tertuduh diperintah menjadi saksi kes berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Pang Chuin Keat.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Yu Yang turut dikenakan jaminan tambahan RM5,000 serta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Sementara 28 Februari depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.