KUALA LUMPUR: Dua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah antara 56 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan banjir besar yang melanda daerah Rasuwa, Nepal.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Hisham Mohamad berkata, kedua-dua anggota berkenaan, Fakhrul Munir Mohamad Isa dan Muhammad Sani Harun berada di sana bagi menyertai aktiviti trekking ke Everest Base Camp.
Beliau berkata, perjalanan mereka ke Nepal adalah atas urusan peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan tugasan rasmi atau program latihan JBPM.
“Mereka trekking untuk ke Everest Base Camp,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Khamis.
Menurut Hisham, aktiviti berkenaan dilakukan atas minat peribadi kedua-dua anggota yang sememangnya mempunyai kecenderungan terhadap aktiviti lasak.
Beliau berkata, Fakhrul Munir merupakan Pegawai Latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah serta turut berperanan sebagai jurulatih.
Sementara itu, Muhammad Sani Harun berpangkat Penolong Pesuruhjaya Bomba dan merupakan Timbalan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan di Ibu Pejabat JBPM.
Hisham berkata, kedua-duanya pada asalnya dijadualkan berlepas ke Nepal pada 22 Ogos, namun perjalanan berkenaan diubah berikutan pertindihan dengan program lain.
Mereka kemudiannya berlepas pada Isnin, katanya.
Beliau menjelaskan, aktiviti ke Everest Base Camp itu bukan pendakian secara konvensional yang dilakukan sepenuhnya dengan berjalan kaki.
"Sebaliknya, perjalanan berkenaan menggunakan kenderaan termasuk Jeep melalui laluan sebelah Tibet sebelum meneruskan aktiviti trekking mengikut laluan ditetapkan," katanya.
Beliau berkata, JBPM mengambil maklum situasi banjir yang melanda Rasuwa dan perkembangan membabitkan kedua-dua anggota berkenaan.
"JBPM akan terus memantau perkembangan serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan keselamatan kedua-dua anggota terbabit," katanya.
Sebelum ini, Wisma Putra memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang gagal dihubungi susulan bencana banjir di Rasuwa meningkat kepada 56 orang.
Jumlah itu berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.
Gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi serta bekalan elektrik di kawasan terjejas dipercayai menyukarkan usaha menghubungi rakyat Malaysia terbabit.
Setakat ini, Kementerian Luar belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa membabitkan rakyat Malaysia susulan bencana berkenaan.