Dua anggota tentera maut kemalangan

Noraniza Kamsani
April 22, 2020 01:43 MYT
Keadaan kereta mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut. - PDRM
Dua anggota tentera maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kampung Lebu di sini, petang Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusof Unis, kejadian jam 3.30 petang itu berlaku ketika mangsa menaiki kereta jenis Proton Saga dalam perjalanan ke Kem Tentera Darat Mempaga di sini.
Katanya, kejadian itu menyebabkan Koperal Azizul Azmy, 33, berasal dari Taman Bercham Raya, Ulu Kinta, Perak yang juga pemandu kereta itu Proton Saga itu maut ditempat kejadian akibat parah di kepala.
"Mangsa kedua, Mejar Mohd Shaiful Azhar Saad, 38, berasal dari Taman Sri Aman, Baling, Kedah yang juga parah di kepala meninggal dunia di Hospital Bentong, jam 5.50 petang tadi," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan dipandu Azizul dari arah Bentong menuju Kem Tentera Darat Mempaga, hilang kawalan sebaik tiba di selekoh berkenaan.
"Keadaan itu menyebabkan kereta itu berpusing dua kali dan terbabas masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar hadapan lori.
"Mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Bentong untuk proses bedah siasat," katanya.
Katanya lagi, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#anggota tentera maut #Bentong #kem tentera darat #maut kemalangan