MALAYSIA

Dua bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah terima, gagal lapor rasuah

Bernama 12/11/2025 | 10:45 MYT
Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum melebihi 20 tahun, dan denda. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Dua bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah serta gagal melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa.


Ringkasan AI
  • Bekas pegawai bank di Shah Alam mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah dan gagal melaporkan perbuatan tersebut kepada pihak berkuasa.
  • Nadiah Zakaria dan Abdul Rahman Shahrudin didakwa menerima suapan daripada firma guaman bagi tujuan mencadangkan firma tersebut dalam penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan perumahan.
  • Kedua-dua tertuduh dituduh di bawah Akta SPRM dan boleh dihukum penjara melebihi 20 tahun serta didenda, kes mereka akan disebut semula pada tarikh yang ditetapkan.


Nadiah Zakaria, 33, dan Abdul Rahman Shahrudin, 35, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.

Nadiah berdepan 12 pertuduhan iaitu enam pertuduhan utama menerima rasuah dan enam pertuduhan pilihan gagal melaporkan perbuatan rasuah, manakala Abdul Rahman berdepan 14 pertuduhan iaitu tujuh utama dan tujuh pilihan yang sama.

Mengikut pertuduhan, Nadiah yang bertugas sebagai perunding pinjaman perumahan di sebuah bank didakwa menerima suapan berjumlah RM11,444 daripada akaun firma guaman sebagai upah mencadangkan firma itu bagi penyediaan enam dokumen perjanjian pembiayaan perumahan bernilai keseluruhan RM3.2 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Shah Alam antara 1 Feb 2021 dan 2 Dis 2022.

Bagi pertuduhan pilihan, Nadiah didakwa gagal melaporkan kesemua perbuatan rasuah terbabit kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis.

Abdul Rahman yang juga seorang perunding pinjaman perumahan didakwa menerima wang berjumlah keseluruhan RM7,366 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik isterinya daripada firma guaman sama sebagai upah bagi tujuan mencadangkan firma guaman tersebut untuk penyediaan 10 dokumen sama berjumlah RM2.61 Juta.

Bagi pertuduhan pilihan dia juga didakwa atas kesalahan gagal melaporkan perbuatan rasuah kepada pihak berkuasa.

Abdul Rahman didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di cawangan sebuah bank di Shah Alam pada 19 Feb, 2 Mac, 19 April, 15 dan 28 Nov 2018 serta pada 20 Mac dan 25 Okt 2019.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum melebihi 20 tahun, dan denda.

Bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa mengikut subseksyen 25(2) Akta SPRM yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Izzati Sapifiee menawarkan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan masing-masing RM6,000 kepada Nadiah dan RM5,000 kepada Abdul Rahman dengan semua syarat tambahan, serta pengecualian sementara kepada Nadiah daripada melaporkan diri ke SPRM kerana sedang sarat mengandung.

Kes Nadiah ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 April, manakala Abdul Rahman pada 7 Jan depan.


-- BERNAMA



#kes rasuah pegawai bank #sindiket pinjaman perumahan #kes mahkamah #SPRM