ALOR SETAR:Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bersama bekas Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam sisa pepejal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen hari ini atas beberapa pertuduhan rasuah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM927, 899 pada 2017 dan 2018.

Pertuduhan yang dibaca dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Tan Sew Ping di hadapan hakim, Murtazadi Amran manakala Azmi Azmin Sarji, 51 diwakili peguam Shamsul Sulaiman.

Manakala Mhd Saiful Anuar Zainal, 51 diwakili peguam, Muhamad Samsul Nizam Sohhimi dan Syed Naqiuddin Shahab.

Mengikut kertas pertuduhan pertama Azmi bersama Mhd Saiful yang ketika itu bertugas di syarikat berkenaan didakwa memperdayakan majikan mereka dengan sengaja mengesahkan kerja-kerja yang termaktub di dalam invois cukai Syarikat Syumul I.Nur Sdn Bhd bernilai RM426,935 sedangkan tiada sebarang perkhidmatan dilakukan.

Berikutan pertuduhan, kegiatan tersebut dilakukan antara 8 Mei 2017 dan 9 Mei 2017 di mana kedua-keduanya mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa sijil pembayaran bagi bulan Mac 2017 di dalam invois terbabit mengandungi butiran matan palsu.

Seterusnya, pertuduhan kedua turut melibatkan kedua-dua pihak yang sama dengan menerima suapan bernilai RM170,000 daripada Syarikat Azhar Prestige Environment sebagai dorongan untuk meluluskan pembayaran invois cukai syarikat terbabit sedangkan tiada perkhidmatan dilakukan.

Kertas pertuduhan turut memaklumkan kes seterusnya hanya melibatkan Azmi yang dituduh menerima rasuah bernilai RM181,177 pada 20 Februari 2018 melalui Syarikat Dinamik Fhin Jaya Sdn Bhd turut mempunyai tujuan yamg sama iaitu sebagai dorongan meluluskan bayaran berjumlah RM36,235 sedang tiada kerja yamg dilakukan oleh pihak terbabit.

Bagi pertuduhan terakhir Azmi, pada 4 Jun 2018 pihaknya cuba lagi dalam memperdayakan majikan dengan mengesahkan kerja-kerja yang dinyatakan di dalam invois cukai Syarikat Abiwatan Sdn Bhd bertarikh 30 November 2017 dan 31 Disember 2017 berjumlah RM149,787 serta masih tidak ada kerja-kerja yang dilaksanakan oleh pihaknya.

Setiap pertuduhan dilakukan ditempat yang sama iaitu di Wisma Idaman yang terletak di Bandar Stargate, Lebuh Raya Sultanah Bahiyah dekat sini.

Kesemua kes terbabit yang melibatkan kedua-dua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) dan Seksyen 24(1) dalam akta yang sama.

Murtazadi membenarkan Azmi diikat jamin dengan jumlah RM80,000 manakala Mhd Saiful RM40,000 selain perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.