Dua bekas penerjun Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Putera UMNO 2007 meluahkan rasa terkilan terhadap tindakan pihak tertentu yang didakwa meminggirkan mereka selepas berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Mohd Khashian Khan Omar Khan, 30, dan Noraffani Noordin, 34, berasal dari Pulau Pinang berkata, selepas 10 tahun mereka bersama 10 bekas penerjun terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan.

Mereka kecewa kerana selepas misi berjaya, mereka mendakwa pihak yang bertanggungjawab membawa mereka ke misi tersebut langsung tidak mempedulikan nasib mereka dan kini mereka terpaksa bekerja sebagai pembancuh air di kedai dan nelayan pantai bagi menyara keluarga.

Mohd Kashian Khan yang merupakan seorang nelayan berkata selepas ekspedisi itu selesai, beliau dan rakan-rakannya yang lain tidak dapat menamatkan pengajian di Kolej Tekad Automotif di Kajang kerana ketinggalan banyak kelas.

"Kami sudah banyak kali minta pertolongan dan pernah buat perjumpaan sekali dengan pihak bertanggungjawab. Namun, sehingga kini janji-janji yang diberikan sebelum ini seperti pemberian rumah dan menunaikan umrah tidak ditunaikan.

"Lebih menyukarkan apabila aktiviti menangkap ikan yang saya lakukan tanpa lesen. Sebelum ini telah banyak kali saya cuba untuk memohon lesen, namun gagal sekali gus menyebabkan saya tidak layak menerima pampasan selepas projek tambakan laut dijalankan di negeri ini.

"Saya mohon pihak yang pernah berjanji membela nasib kami tampil membantu sekurang-kurangnya menubuhkan sebuah kelab bagi memudahkan kami mencari pendapatan tetap," kata Mohd Kashian Khan dalam sidang akhbar pada Ahad.

Dijanjikan ganjaran

Nada sama juga dilahirkan Noraffandi yang kecewa kerana ada pihak yang menjanjikan pelbagai ganjaran termasuk menawarkan untuk menubuhkan kelab penerjun udara, rumah dan pakej umrah kepada mereka.

Namun yang terjadi adalah sebaliknya apabila mereka diberikan saguhati berjumlah RM1,000 setiap seorang selain hanya menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari kerajaan negeri Melaka.

Noraffandi berkata, walaupun nama mereka terpahat di dalam World Book of Records dan Malaysia Book of Records (MBOR), ia bukan jaminan kehidupan mereka menjadi lebih baik.

"Bukan itu sahaja, tiga lagi peserta yang berasal dari Pulau Pinang turut menerima nasib sama dan masih tercari-cari pembelaan yang pernah dijanjikan dahulu," katanya dan menambah rakan-rakannya yang lain bekerja sebagai mandur, kerja kilang dan promoter syarikat telekomunikasi.

Jangan dipinggirkan

Sementara itu, presiden Persatuan Pelancongan dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat) Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa berharap pihak kerajaan atau Kelab Putra UMNO Malaysia akan menilai semula pengorbanan yang telah dilakukan golongan belia tersebut dalam mengharumkan nama negara.

Ujarnya, tidak sepatutnya nasib bekas penerjun yang suatu ketika menjadi ikon belia negara di pinggirkan tanpa pembelaan yang sewajarnya.

"Mereka seharusnya menjadi ikon kepada generasi muda kerana berjaya mengharumkan nama negara di persada dunia," kata Syed Kamalrul Sufian yang turut hadir pada sidang media itu.

Pada 23 April 2007, tepat 4.20 pagi waktu Norway (10.20 pagi waktu Malaysia), 16 penerjun Malaysia termasuk 12 anggota Putera UMNO berumur antara 19 dan 24 tahun, berjaya membuat terjunan bebas dari helikopter MI8 buatan Rusia pada kedudukan 90 darjah utara.

Ekspedisi itu merupakan sebahagian daripada aktiviti sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Malaysia pada 2007, yang ditaja sepenuhnya oleh Putera UMNO dan dianjurkan dengan kerjasama Persekutuan Sukan Penerbangan Malaysia. -- Bernama