MALAYSIA

Dua bekas pengikut Ayah Pin antara 13 berhimpun luar Istana Kubang Kerian - Polis

Bernama 13/11/2025 | 11:00 MYT
Mohd Yusoff ditemui pemberita pada Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025 Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di UiTM Kampus Machang hari ini. - Foto Bernama
MACHANG: Polis mengesahkan dua daripada 13 individu yang ditahan kerana berhimpun di luar Istana Negeri, Kubang Kerian, Kota Bharu pada Selasa lepas, dikenal pasti sebagai bekas pengikut ajaran sesat Ayah Pin.


Ringkasan AI
  • Dua individu yang ditahan di luar Istana Negeri Kubang Kerian dikenal pasti sebagai bekas pengikut ajaran sesat Ayah Pin, berusia lingkungan 40-an.
  • Polis menyiasat kumpulan tersebut yang cuba menyerahkan barangan lama kepada Sultan Kelantan yang akan datang, termasuk lima individu yang positif dadah.
  • Polis mencatat perubahan modus operandi sindiket dadah dari Pantai Timur ke utara negara, dengan indeks jenayah Kelantan menurun 27 peratus tahun ini, tetapi jenayah kekerasan meningkat sebanyak tiga peratus.


Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kedua-dua individu berkenaan berusia lingkungan 40-an.

"Siasatan awal menunjukkan mereka mahu menyerahkan barangan lama seperti parang, pedang dan tombak kepada Sultan Muhammad Keenam (Sultan Kelantan akan datang).

"Peranan beberapa individu lain termasuk Orang Asli yang turut terbabit masih dalam siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Profesional, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Machang, hari ini.

Beliau berkata lima daripada kumpulan itu juga positif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Semalam, Bernama melaporkan seorang wanita dan tiga Orang Asli antara 13 individu berusia 26 hingga 67 tahun yang direman empat hari selepas menyertai perhimpunan haram.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata polis mengesan perubahan modus operandi sindiket pengedaran dadah yang dipercayai beralih dari Pantai Timur ke negeri-negeri utara.

"Saya dimaklumkan oleh rakan sejawat di Kedah dan Perlis mengenai banyak tangkapan baharu membabitkan dadah bernilai tinggi dan dalam kuantiti besar.

"Ini menunjukkan kemungkinan pengedar di Kelantan telah berpindah ke sana susulan kawalan yang semakin diperketat," katanya.

Beliau berkata indeks jenayah di Kelantan menurun 27 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas khususnya melibatkan jenayah harta benda seperti curi, pecah rumah dan kecurian kenderaan.

"Namun bagi jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol, samun dan mencederakan orang menggunakan senjata, terdapat sedikit peningkatan sebanyak tiga peratus," katanya.

-- BERNAMA








#perhimpunan haram #Istana Negeri Kubang Kerian #ajaran sesat #Ayah Pin