MANJUNG: Dua beradik lelaki masing-masing berusia empat dan enam tahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam parit di Batu 12, Jalan Segari, Pantai Remis di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung insiden itu kira-kira jam 7 malam.

"Setibanya pihak polis di lokasi tersebut, didapati bahawa mayat dua mayat kanak-kanak lelaki tersebut telah diletak di atas lantai di hadapan rumah mereka.

"Penolong Pegawai Perubatan Hospital Pantai Remis yang hadir pada jam 7.15 malam telah mengesahkan kematian kedua-dua mangsa tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.

Menurut Nor Omar, kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu berusia 36 tahun dan seorang abang berusia 10 tahun.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa telah keluar bermain di luar kawasan rumah pada jam 5 petang.

"Ketika itu, ibu mereka sedang masak di dapur. Pada jam 5.30 petang, ibu telah memanggil anak lelaki sulungnya untuk mencari kedua-dua adiknya pulang ke rumah.

"Abang mereka kemudian keluar mencari adik-adiknya dan telah menjumpai kedua-dua mangsa berada di dalam parit berhampiran dan terus memaklumkan kepada ibunya.

"Ibu mangsa telah meminta bantuan orang awam di situ untuk selamatkan kedua-dua mangsa yang berada  dalam parit tersebut," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar dari parit berkenaan dan diletakkan di hadapan rumah mereka sementara menunggu bantuan tiba.

Dalam pada itu beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Setakat ini siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR)," katanya lagi.