Dua beradik didakwa bunuh anggota Rela

Bernama
Oktober 20, 2022 07:59 MYT
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di hadapan sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya, 8 Okt lepas.
R. Shugenthiran, 26 dan R. Mahendran, 24, masing-masing mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama membunuh Yahya Kamarudin, 45, di hadapan sebuah unit pangsapuri di Petaling Jaya di sini pada 9.12 malam, 8 Okt lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 5 Jan 2023 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gursharonjit Kaur.
-- BERNAMA
#dua beradik didakwa membunuh #anggota Rela #Yahya Kamarudin #gantung hingga mati