Dua beradik ditemui lemas dalam parit berhampiran rumah mereka di Jalan Parit Simpang Empat, Alor Pongsu, dekat sini, pada tengahari Rabu.

Mayat Nor Aliya Natasha Mohd Ali, 11 dan adiknya Nor Aliya Batrisha, 8, ditemui dalam parit yang terletak kira-kira 15 meter dari rumah mereka.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 12.49 tengahari.

Setibanya di lokasi, didapati terdapat dua mangsa berumur 8 dan 11 tahun lemas di dalam parit sedalam tiga meter. - Foto JBPM

Katanya, setibanya di lokasi, didapati terdapat dua mangsa berumur 8 dan 11 tahun lemas di dalam parit sedalam tiga meter.

“Mangsa telah dijumpai oleh orang awam dan telah diserahkan kepada pihak polis.

“Anggota bomba memberi bantuan mengangkat dan menghantar kedua-dua mangsa ke Hospital Parit Buntar kerana kenderaan utiliti polis mengalami kerosakan di tempat kejadian,” katanya di sini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakthtiar Yaacob yang mengesahkan kejadian itu berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.