JEMPOL: Dua maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki adik-beradik itu hilang kawalan sebelum terbabas, dalam kemalangan di Kilometer 11 Jalan Bahau-Kemayan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Norhisham Mustapar berkata kemalangan kira-kira 8.40 malam itu, melibatkan sebuah kereta jenis Volkswagen dipandu lelaki berusia 31 tahun dinaiki bersama-sama dua adik lelakinya, masing-masing berusia 27 dan 25 tahun.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dalam perjalanan dari Kuala Pilah menuju ke Temerloh Pahang, sebelum dipercayai hilang kawalan sehingga melanggar pokok dan merempuh papan tanda arah jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu yang bekerja sebagai safety officer syarikat swasta dan adiknya merupakan pelajar institut pengajian tinggi mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala seorang lagi adiknya yang duduk di bahagian hadapan, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Jempol untuk rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal menerusi nombor 016-3627746, bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA