Dua beradik tiri terselamat daripada tali gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung tuduhan membunuh seorang rakan sekerja perempuan di Nusajaya, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak memerintahkan mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

S. Chandran, 33, dan P. Marie, 29, didakwa membunuh P.Malarvili, 33, antara pukul 3 hingga 4 pagi pada 9 Jun 2013 dengan membakar kereta Proton Wira Aeroback yang dinaiki mangsa di sebuah jalan mati di Lebuhraya Bukit Indah, di sini.

Mayat mangsa yang rentung kemudian ditemui orang awam kira-kira 8 pagi pada hari yang sama.


Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata pihak pendakwaan mengemukakan beberapa bukti yang boleh diguna pakai dalam perbicaraan kes, termasuk laporan penuh doktor terhadap bedah siasat tulang Malarvili.

"Namun dalam elemen ketiga iaitu untuk menentukan siapa pembunuh Malarvili, mahkamah mendapati tiada asas kukuh terhadap bukti Laporan Panggilan Data (CDR) yang dikemukakan pendakwaan.

"Ini kerana melalui laporan itu, pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa syarikat telekomunikasi Digi tidak dapat memastikan panggilan dan mesej yang diterima mangsa pada hari kejadian adalah daripada kedua-dua tertuduh," kata Mohd Sofian.

Pendakwaan kes yang berlangsung selama setahun tujuh bulan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datin Freda Sabapathy, Chuah Shyue Chien dan Vinodharan Mohan.