SEREMBAN: Dua beranak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban pada Rabu atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

Tertuduh, seorang peniaga, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya berusia 18 tahun hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama pada 3 Mac 2022 kira-kira kurang 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama.

Bagi pertuduhan itu juga tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

Selain itu di Mahkamah Sesyen di sini Khalid Redza didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulitnya melecur yang dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 24 Mac 2022.

Pertuduhan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda serta sebat.

ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN