MALAYSIA

Dua beranak mati dibunuh: Polis nafi cinta tiga segi jadi punca

Dewi Nur Harasha Alias 21/10/2025 | 07:30 MYT
Mayat mangsa ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan, manakala anak mereka diditemui di tingkat atas. - Gambar fail
BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang menolak dakwaan kononnya kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru, di sini, Sabtu lepas, berpunca daripada cinta tiga segi seperti yang tular di media sosial.


Ringkasan AI
  • Polis Pulau Pinang menolak dakwaan motif cinta tiga segi dalam kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru, sebaliknya siasatan dijalankan dari pelbagai sudut untuk mengenal pasti pelaku sebenar.
  • Tiga individu termasuk suami mangsa dan dua lelaki lain - seorang warga tempatan dan seorang warga Bangladesh- telah ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
  • Bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa maut akibat tetakan di belakang leher dipercayai menggunakan pisau pemotong daging, dan polis turut menemui senjata dipercayai digunakan dalam semak berhampiran lokasi kejadian.


Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan polis tidak menjurus ke arah itu.

Beliau berkata, penahanan tiga individu termasuk suami mangsa sebelum ini dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti pelaku sebenar.

“Siasatan tidak menjurus kepada dakwaan motif cinta tiga segi seperti yang tersebar.

“Setakat ini, pelaku sebenar dalam kejadian itu sedang dikenal pasti dan siasatan turut diperluas bagi merungkai motif utama pembunuhan dua beranak tersebut," katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.

"Pihak polis sedang giat menjalankan siasatan dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan teliti,” katanya.

Media pada Sabtu melaporkan mayat Sariya Che Hin, 51, ditemukan suaminya jam 7.30 malam di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus.

Manakala, mayat Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.

Susulan itu, polis menahan reman suami mangsa berusia 57 tahun selama tujuh hari hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada Isnin, dua lagi lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman selama tujuh hari sehingga 26 Oktober bagi membantu siasatan.

Difahamkan, suspek tempatan berusia 45 tahun itu ditahan di rumahnya di Juru , manakala lelaki Bangladesh berumur 46 tahun itu pula, ditahan di Bukit Tambun.

Suspek tempatan yang juga peniaga itu dikatakan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Media sebelum ini melaporkan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu disebabkan tetakan di belakang leher dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.

Polis juga telah menemui sebilah pisau dalam semak berhampiran lokasi pembunuhan ngeri dua beranak pada malam kejadian.

#kes bunuh dua beranak #kes bunuh Pulau Pinang #cinta tiga segi #motif pembunuhan