Dua bersaudara dituduh bunuh lelaki

Abd Razak Mohd Ali
Mac 8, 2024 07:00 MYT
Tertuduh, M Saravanan dan M Thamilselvan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung bagi menghadapi pertuduhan membunuh hari ini. - Foto Astro AWANI
MANJUNG: Dua bersaudara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh seorang lelaki, bulan lalu.
Tertuduh, M Saravanan, 43, dan M Thamilselvan, 48, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret T Kavita.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Saravanan yang bekerja sebagai pencuci kereta dan Thamilselvan yang menganggur, dituduh secara bersama dengan sengaja telah menyebabkan kematian ke atas M Segar, 45, di sebuah rumah di Taman Biru, dekat Ayer Tawar antara 5 pagi hingga 9 malam, 10 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 18 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain manakala semua tertuduh diwakili peguam, R R Segaran.
#dua bersaudara #bunuh #Mahkamah Majistret Seri Manjung #Seksyen 302 Kanun Keseksaan