NATIONAL

Dua daripada tiga lelaki Malaysia terdedah masalah disfungsi erektil

Bernama 20/05/2025 | 10:00 MYT
Lukanisman (tiga, kanan) melancarkan buku 'Clinical Practices Guideline Management of Erctile Dysfunction' di Institut Kanser Negara hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Dua daripada tiga lelaki di Malaysia terdedah kepada masalah disfungsi erektil (ED), kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni.


Ringkasan AI
  • Prevalensi disfungsi erektil (ED) di Malaysia: Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, 31.6% lelaki Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami ED pada tahap sederhana hingga teruk.
  • Garis panduan rawatan ED: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membangunkan garis panduan amalan klinikal (CPG) bagi memastikan pesakit ED mendapat rawatan komprehensif.
  • Langkah pemantauan dan larangan penjualan ubat ED secara dalam talian: KKM bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok bagi memantau dan melarang penjualan ubat yang dikaitkan dengan ED.


Beliau berkata berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, 31.6 peratus lelaki Malaysia berumur 18 tahun ke atas mengalami ED pada tahap sederhana sehingga tahap teruk.

"ED merupakan satu isu yang agak kurang dibincangkan, tetapi merupakan penyakit yang semakin boleh dianggap serius dalam kalangan lelaki di Malaysia, dengan angka menunjukkan 69.5 peratus lelaki berumur 40 tahun ke atas mengalami ED," katanya kepada media selepas melancarkan garis panduan amalan klinikal (CPG) bagi pengurusan ED di sini hari ini.

ED ditakrifkan sebagai ketidakupayaan untuk mendapatkan atau mengekalkan ereksi cukup lama untuk membolehkan hubungan seksual yang memuaskan.

Sementara itu merujuk kepada garis panduan CPG bagi pengurusan ED, Lukanisman berkata ia dibangunkan bagi memastikan pesakit ED diberikan penjagaan kesihatan terbaik oleh pengamal kesihatan dengan ilmu dan kemahiran yang relevan berdasarkan rekomendasi dalam CPG ini.

"CPG ini telah dibangunkan dalam tempoh beberapa tahun dan juga kita telah menyerahkan CPG ini kepada pihak klinikal, universiti dan juga persatuan untuk dijadikan satu panduan kepada bagaimana rawatan komprehensif untuk masalah ED ini," katanya.

Beliau menyeru individu yang mempunyai masalah ED untuk ke fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mendapatkan rawatan segera, kerana hampir 70 peratus masalah ED menjadi punca kepada penceraian.

Sementara itu Lukanisman berkata KKM melalui Bahagian Farmasi kini bekerjasama dengan platform e dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok untuk memantau dan melarang penjualan ubat yang dikaitkan dengan masalah ED.

"Saya tegaskan bahawa ED ini adalah satu penyakit yang perlu dirawat seperti kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, jangan jadikan ubat-ubat (di platform e dagang) untuk merawat ED ini sebagai enhance kepada prestasi ataupun stamina seksual lelaki," katanya.

-- BERNAMA



#lelaki malaysia #disfungsi erektil #Kementerian Kesihatan #Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi #Lukanisman Awang Sauni #terkini