[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Dua ditahan bantu siasatan kes khianat dengan api

Bernama 26/11/2025 | 01:10 MYT
Christopher berkata kedua-dua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar dengan sengaja mana-mana bangunan atau rumah yang dihuni. - Gambar fail
MELAKA: Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes khianat menggunakan api di Lorong Laksamana Cheng Hoe, Bukit Cina di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata dalam kejadian antara 1.45 hingga 1.50 pagi pada 11 Nov lepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kenderaan dilihat berlegar-legar di kawasan perumahan berkenaan.

"Seorang lelaki kemudian dilihat berjalan menuju ke arah sebuah rumah dan membaling satu objek yang dinyalakan dengan api ke halaman kediaman itu dan menyebabkan kebakaran kenderaan milik mangsa.

"Hasil siasatan dan risikan polis kemudian berjaya menahan dua suspek, iaitu seorang lelaki dan wanita, masing-masing berusia 26 dan 36 tahun di Kajang dan Serdang, Selangor pada 8.30 malam, Isnin lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata dengan tangkapan berkenaan, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes khianat dengan api dan satu kes simbah cat di rumah sekitar Melaka Tengah yang berlaku antara Julai dan November tahun ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membakar dengan sengaja mana-mana bangunan atau rumah yang dihuni yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda.

"Polis Melaka Tengah memandang serius sebarang aktiviti jenayah dan akan mengambil tindakan tegas ke atas pesalah-pesalah tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa membantu membanteras jenayah daripada berlaku," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah boleh disalurkan menerusi talian 06-2842222.

-- BERNAMA

#Christopher Patit #khianat dengan api #Lorong Laksamana Cheng Hoe #reman