Dua gajah betina ditemui mati

Bernama
Februari 10, 2020 11:05 MYT
Bedah siasat sedang dijalankan keatas bangkai kedua-dua gajah itu bagi mengenal pasti punca kematian. - Foto Jabatan Hidupan Liar Sabah
Dua gajah betina Borneo ditemui mati, masing-masing satu di ladang kelapa sawit di Sukau, Kinabatangan dan Hutan Simpan Deramakot dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah (SWD) Augustine Tuuga yang mengesahkan perkara itu berkata bangkai pertama ditemui di Ladang Sentosa di Sukau pada hari Sabtu lepas, manakala satu lagi ditemui hari ini di Ladang Tangkulap IOI, bersempadan dengan Deramakot Forest Reserve.
Beliau berkata bedah siasat sedang dijalankan keatas bangkai kedua-dua gajah itu bagi mengenal pasti punca kematian.
"Punca kematian gajah itu belum diketahui, namun setakat ini tiada tanda-tanda kecederaan luaran ditemui pada bangkai gajah itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ini merupakan penemuan kedua dan ketiga bangkai gajah pada tahun ini selepas penemuan bangkai gajah pertama di Lower Kinabatangan bulan lepas, dipercayai ditanam oleh syarikat penanaman sawit, dan kejadian itu masih sedang disiasat SWD.
-- BERNAMA
#Augustine Tuuga #Borneo #Deramakot Forest Reserve #dua gajah betina mati #gajah mati #Kinabatangan #mati #Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah