SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Dua gelas susu sehari bantu tangani masalah kekurangan nutrien

Bernama 22/08/2025 | 15:00 MYT
Dr Hamid Jan berkata ketidakcukupan makanan bersusu yang kronik ini menyumbang kepada kekurangan kalsium, vitamin D dan kekurangan zat. - Gambar hiasan/pixabay.com
KUALA LUMPUR: Masalah kesihatan berkaitan kekurangan nutrien dalam kalangan rakyat Malaysia boleh ditangani dengan satu amalan mudah iaitu pengambilan dua gelas susu sehari, menurut pakar nutrisi.

Pakar nutrisi daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Hamid Jan Jan Mohamed dalam kenyataan berkata dapatan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2024 menunjukkan bahawa hanya tiga peratus remaja dan satu peratus orang dewasa di Malaysia minum susu setiap sehari, satu trend yang dikaitkan dengan kesan jangka masa panjang seperti osteoporosis, sarkopenia, kelesuan dan keletihan kronik.

Beliau berkata kajian itu juga mendapati 98 peratus remaja dan 96 peratus orang dewasa di Malaysia gagal memenuhi keperluan kalsium harian mereka setiap hari, selain kekurangan fosforus, vitamin D dan vitamin B2 turut dilaporkan meluas.

Dr Hamid Jan berkata ketidakcukupan makanan bersusu yang kronik ini menyumbang kepada kekurangan kalsium, vitamin D dan kekurangan zat.

Beliau berkata nutrien wajib diambil memandangkan ia kritikal bagi tumbesaran tulang, metabolisme tenaga dan kesihatan otot sambil menekankan bahawa jurang kekurangan boleh memberikan kesan besar terhadap sistem kesihatan negara ketika Malaysia menuju ke arah negara tua.

Beliau menegaskan bahawa dua gelas susu sehari adalah langkah kecil namun konsisten yang boleh mencegah penyakit dan mengelak penderitaan pada masa depan.

"Ia bukan tentang diet popular atau pelan nutrisi yang rumit, ia tentang amalan mudah, minum segelas susu dengan sarapan dan satu lagi bersama makan malam," katanya.

Pakar Nutrisi Kanak-Kanak dan Remaja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Poh Bee Koon dalam kenyataan sama berkata terdapat mitos bahawa susu hanya untuk kanak-kanak kecil, sedangkan ia memainkan peranan penting dalam setiap tahap kehidupan daripada kanak-kanak yang membesar kepada orang dewasa yang aktif sehinggalah warga tua.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan supaya kanak-kanak kecil diberi susu sekurang-kurangnya dua kali sehari, dengan jumlah pengambilan antara 200 hingga 500 mililiter setiap hari atau kira-kira dua gelas, bergantung kepada diet keseluruhan mereka.

"Hanya dua gelas susu sehari boleh membuat perbezaan yang signifikan," katanya sambil menambah bahawa susu membantu membekalkan protein, kalsium, vitamin D dan nutrien lain yang diperlukan untuk menyokong kekuatan tulang, fungsi otot dan kesejahteraan keseluruhan.

-- BERNAMA



#Pertubuhan Kesihatan Sedunia #diet #susu #Kanak-kanak