MALAYSIA
Dua individu termasuk penjawat awam direman bantu siasatan salah guna kedudukan, subahat
Menurut sumber, kedua-duanya ditahan antara 11 pagi hingga 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah. - Foto hiasan
ALOR SETAR: Dua individu termasuk seorang penjawat awam direman bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kedudukan dengan mencadangkan dan bersubahat dengan sebuah syarikat penyelenggaraan dan pembersihan bagi menjalankan kerja-kerja berkaitan bernilai kira-kira RM300,000.
Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan dua lelaki berusia 30-an itu direman lima hari hingga 6 Julai selepas menerima permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.
Menurut sumber, kedua-duanya ditahan antara 11 pagi hingga 2 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
"Mereka disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 dan 2021.
"Siasatan awal mendapati kedua-duanya bersubahat, dengan suspek utama yang merupakan penjawat awam telah menyalahgunakan kedudukan bagi membolehkan kedua-duanya mendapat keuntungan daripada syarikat yang dilantik," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA