SHAH ALAM:Selangor berjaya mengatasi dua insiden pencemaran sumber air yang dikesan berlaku di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat semalam bagi mengelakkan loji rawatan air (LRA) dihenti tugas.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata dalam insiden pertama, pencemaran bau sehingga 10 TON (threshold odour number) dikesan di Sungai Kundang pada pukul 10.45 pagi ketika pemantauan 24 jam Ops Statik Sungai Gong Rawang.

Beliau berkata siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

"Siasatan lanjut oleh LUAS bersama Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ke sebuah premis telah mengesan bau sama sehingga 10 TON di pelepasan akhir premis berkenaan.

"Surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan terhadap premis tersebut supaya menghentikan serta merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu kata Hee, LUAS meletakkan 300 kilogram (kg) karbon yang diaktifkan untuk mengawal pencemaran di lokasi pertemuan Sungai Kundang dan pensampelan di tiga lokasi berbeza di sekitar aliran sungai itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis bagi tindakan selanjutnya.

Bagi insiden pencemaran kedua pula kata Hee, tumpahan minyak diesel ke dalam Tasik Putrajaya dikesan sekitar pukul 9.35 pagi disebabkan kebocoran tangki gelongsor paip saluran bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN).

Beliau berkata siasatan LUAS mendapati minyak diesel tersebut telah mengalir ke longkang IKN dan memasuki Tasik Putrajaya dan Perbadanan Putrajaya (PPj) telah mengarahkan IKN melaksanakan kerja-kerja pembersihan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

"Beberapa langkah mitigasi dijalankan oleh IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan "oil pad" dan "oil boom" pada sistem saliran selain menyedut minyak yang telah bercampur. Insiden ini berpotensi mencemarkan Sungai Langat serta boleh menyebabkan LRA Bukit Tampoi yang terletak di bahagian hilir kira-kira 10 kilometer daripada alur limpah tasik berkenaan dihenti tugas.

"LUAS telah memohon kerjasama PPj untuk meletakkan "oil boom" di kawasan alur limpah Tasik Putrajaya ke Sungai Langat bagi mengelakkan pencemaran berlarutan. Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dijalankan oleh LUAS bersama pihak terlibat," katanya.

Katanya, hasil tindakan segera oleh LUAS dan pihak terlibat berjaya mengelakkan pemberhentian operasi LRA dan tiada gangguan air kepada pengguna.

Hee turut menyeru kerjasama semua pihak supaya melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi mengakibatkan pencemaran sumber air.

Sejumlah 1,196,457 pemegang akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas LRA Sungai Selangor FAsa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah pada Isnin lepas.

Selasa lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata empat LRA itu dihenti tugas sebanyak enam kali tahun ini ekoran pencemaran sungai dan mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kepada kira-kira 1.2 juta pengguna di Lembah Klang.

-- BERNAMA