Dua kakitangan LIGS maut kemalangan

Ruzaini Zulkepli
April 5, 2018 04:48 MYT
Joddy Kumin dan Sandro Vickie Thomas maut di tempat kejadian. - Astro AWANI
Dua kakitangan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh belakang sebuah jentolak di Jalan Kanibongan-Pitas, berhampiran simpang Paitan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, kedua mangsa lelaki dikenali sebagai Joddy Kumin, 33 tahun, dan Sandro Vickie Thomas, 25, meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan akibat tersepit di dalam kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Mohd Izaan Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Pitas ke Kanibongan sebelum terbabit nahas itu.
"Setibanya di tempat kejadian, kenderaan tersebut terbabas lalu melanggar bahagian belakang sebuah jentolak yang diletakkan di luar jalan sebelah kanan menghala ke Kanibongan.
"Kedua-dua mangsa telah maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pagi ini.
Beliau berkata siasatan menyeluruh masih giat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan dan meminta orang ramai tampil sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#jentolak #kanibongan #kemalangan maut #Kota Marudu #lembaga industri getah malaysia #Proton Saga FLX