KUCHING:Kes keseluruhan COVID-19 di Sarawak kini mencecah 763 selepas empat lagi kes positif direkodkan di daerah Kuching hari ini.

Kesemua kes adalah jangkitan melibatkan Kluster Bah Arnab dengan dua daripadanya merupakan kanak-kanak lelaki.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan media hari ini memaklumkan kesemua kes ini adalah kontak rapat kepada kes ke-719.

"Kes ke-719 iaitu seorang warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

"Kes disaring dan didapati positif COVID-19 pada 6 Oktober lepas," menurut kenyataan itu.

Berikut adalah ringkasan empat kes baharu berkenaan:

i) Kes Ke-760 : Seorang lelaki tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

ii) Kes Ke-761 : Seorang kanak-kanak lelaki tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

iii) Kes Ke-762 : Seorang wanita tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

iv) Kes Ke-763 : Seorang kanak-kanak lelaki tempatan yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19.

JPBNS juga mengesahkan masa pendedahan kes-kes ini adalah diantara 2 hingga 6 Oktober 2020 semasa Kes Ke-719 menjalani kuarantin di rumah.

Mereka dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani baki arahan kuarantin 14 hari selepas saringan ujian rT-PCR pertama yang dijalankan pada 6 Oktober adalah negatif.

"Kes-kes ini telah disaring kali kedua pada 16 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR mereka didapati positif hari ini.

"Kesemua kes ini tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut," jelas JPBNS.

Selain Kluster Bah Arnab, satu lagi kluster yang masih aktif di Sarawak adalah Kluster Putra di Bintulu namun tiada penambahan kes dilaporkan.

Sementara itu empat kes sembuh dan dibenarkan discaj di Hospital Umum Sarawak.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat ini berjumlah 700 orang atau 91.74 peratus daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.