Dua keluarga di Keningau dipindahkan akibat banjir

Eleanor Michelle Patrick
Januari 25, 2022 22:06 MYT
Paras air di Kampung Bunsit, Keningau, dilaporkan semakin surut malam tadi. - Foto Ihsan JBPM Sabah
KENINGAU: Tiga belas orang daripada dua keluarga dipindahkan selepas kediaman mereka di Kampung Bunsit, di sini, terjejas banjir malam tadi.
Mangsa terdiri daripada empat lelaki dan sembilan wanita, dipindahkan ke rumah saudara-mara terdekat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan yang memaklumkan berlaku bencana banjir di kampung itu pada jam 9.19 malam.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dihantar ke tempat kejadian sebelum memulakan operasi memindahkan mangsa.
"Seramai 13 orang membabitkan dua keluarga dipindahkan ke rumah saudara-mara terdekat.
"Pasukan bomba masih berada di lokasi untuk melakukan pemantauan dan bersiap sedia bagi melakukan operasi pemindahan mangsa," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya, paras air dilaporkan semakin surut dan maklumat terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
#banjir #Kampung Bunsit #saudara-mara #bomba