PUTRAJAYA: Dua kes baharu positif cacar monyet (mpox) yang membabitkan dua lelaki warga tempatan dikesan di Malaysia, yang menjadikan jumlah kumulatif empat kes pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata kes ketiga positif mpox itu disahkan pada 21 Okt lepas setelah lelaki berkenaan menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Okt.

Kes keempat pula merupakan kontak rapat kepada kes ketiga dan disahkan positif pada 23 Okt lepas apabila pesakit turut menunjukkan gejala yang sama pada 6 Okt, katanya.

"Kedua-dua kes sedang menjalani isolasi di rumah dan berada dalam kesihatan yang stabil. Kedua-dua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

"Semua kontak bagi kes ketiga dan keempat telah dikenal pasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox. Status kesihatan mereka juga sedang dipantau," katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata kedua-dua kes baharu itu tiada hubung kait dengan kes pertama dan kes kedua yang dilaporkan pada Julai lepas.

Mpox ialah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox yang jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox.

Dr Muhammad Radzi berkata gejala mpox ialah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

"Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

"Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya. Lazimnya, kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus," katanya.

Dr Muhammad Radzi meminta pengamal perubatan untuk peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.

Beliau berkata sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.

"Bagi kes yang disyaki mpox, swab lepuh, swab oral dan sampel darah atau serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox.

"Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke pejabat kesihatan daerah berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan," katanya.

-- BERNAMA