KOTA KINABALU:Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Menggatal dan Kluster Penjara Kepayan menjadi penyumbang utama kenaikan mendadak kes COVID-19 di daerah ini dengan sembilan kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes kematian di Sabah hari ini merupakan antara yang tertinggi direkodkan berbanding sebelum ini.

"Jumlah kes positif baharu COVID-19 hari ini di Sabah adalah sebanyak 678 kes dan kes kematian adalah sebanyak 12 kes iaitu sembilan di Kota Kinabalu, masing-masing satu di Kudat, Tawau dan Sandakan.

"Pada hari ini Kota Kinabalu merekodkan kenaikan mendadak sebanyak 341 kes dengan 229 daripadanya disumbang oleh Kluster PTS Menggatal dan 42 kes daripada Kluster Penjara Kepayan, manakala selebihnya tidak melibatkan mana-mana kluster.

"Kenaikan mendadak ini adalah seperti apa yang telah kita ramalkan sebelum ini susulan saringan sampel yang dibuat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Situasi terkini COVID-19 di Malaysia.

Tambahnya berlaku pertambahan pesakit menerima rawatan dan pesakit yang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, seramai 549 pesakit COVID-19 telah discaj dari hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) manakala seramai 3,139 pesakit sedang menerima rawatan.

"Bilangan pesakit ICU pula ialah 79 orang berbanding 76 pada Isnin manakala 21 orang memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.