Akibat daripada perebutan pelanggan, dua kumpulan pemandu serta kru trak penunda bergaduh sesama sendiri di Jalan Serdang Raya, Seri Kembangan, pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, kejadian pada jam 2 petang itu bermula dengan pertengkaran sebelum keadaan menjadi luar kawalan.

"Dalam kejadian tersebut kedua-dua kumpulan trak penunda itu bertindak ganas dengan bertumbuk dan menendang antara satu sama lain tanpa menggunakan senjata.

"Pergaduhan itu berlarutan sehingga seorang daripada mereka cedera ringan manakala sebuah kenderaan milik penunda kereta dipecahkan cermin hadapannya.

"Ekoran kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang telah menjalankan operasi khas mengesan kesemua mereka dan lapan suspek daripada kumpulan terbabit berjaya ditahan," katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ismadi berkata semua mereka akan direman di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Jumaat dan polis sedang mengesan suspek lain.

"Polis sekali lagi mengingatkan supaya semua pihak bertenang dan jangan membuat provokasi sehingga mengakibatkan tindakan di luar kawalan seterusnya melanggar undang-undang," katanya.