Dua lagi ADUN angkat sumpah Exco Pahang, lengkapkan kuota

Mohd Zalani Md Atan
Jun 5, 2018 04:39 MYT
Wan Rosdy (tengah) bersama Mohd Soffi dan Abd Aziz selepas selesai Upacara Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah, hari ini. - Astro AWANI
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pahang di Istana Abdulaziz hari ini.
Mereka ialah ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak dan ADUN Batu Talam, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.
Upacara Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah berlangsung di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Menerusi pelantikan itu, lengkap sudah barisan Exco kerajaan negeri, selepas lapan daripadanya, termasuk Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengangkat sumpah pada 15 Mei lalu.
Bagaimanapun, portfolio yang bakal disandang dua Exco yang baharu mengangkat sumpah itu belum diputuskan.
Sebelum ini, Wan Rosdy yang kini memegang empat portfolio berkata, beliau akan melepaskan dua daripadanya sebaik Exco baharu dilantik.
#Abdul Aziz Mat Kiram #ADUN #angkat sumpah #Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak #Exco #Pahang #Pemangku Raja Pahang #Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah #Wan Rosdy Wan Manan