NATIONAL

Dua lagi bekas pegawai bank direman bantu siasatan lulus pinjaman RM11.3 juta

Bernama 23/05/2025 | 10:00 MYT
Individu yang ditahan reman bagi membantu siasatan SPRM. - Foto SPRM
SANDAKAN: Dua lagi bekas pegawai bank direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes kelulusan pinjaman kira-kira RM11.3 juta menggunakan dokumen palsu antara 2022 hingga tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Penahanan bekas pegawai bank: Dua lagi bekas pegawai bank direman selama tujuh hari sehingga 29 Mei bagi membantu siasatan kes kelulusan pinjaman RM11.3 juta menggunakan dokumen palsu.
  • Kes rasuah melibatkan beberapa suspek: Sebelum ini, lima individu termasuk empat pegawai bank turut direman berkaitan kes yang sama, dengan dakwaan menerima rasuah RM300,000 untuk meluluskan 39 permohonan pinjaman kewangan.
  • Siasatan di bawah Akta SPRM 2009: Pengarah SPRM Sabah mengesahkan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang berkaitan dengan kesalahan menerima rasuah sebagai dorongan meluluskan permohonan pinjaman.


Perintah reman hingga 29 Mei terhadap kedua-dua lelaki itu dibenarkan Majistret Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.

Semalam, lima lelaki, termasuk empat pegawai bank direman tujuh hari hingga 28 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung kes sama.

Semua suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan 39 permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA



#bekas pegawai bank #ditahan reman #SPRM #dokumen palsu