KUALA LUMPUR: Sabah merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir dengan daerah Paitan dan Beluran menjadi daerah terbaharu dilanda bencara itu, malam ini.

Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan memaklumkan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 566 orang daripada 182 keluarga malam ini berbanding 504 orang daripada 167 keluarga petang tadi.

Di Paitan yang terletak di utara negeri itu, seramai 32 orang daripada tujuh keluarga dipindahkan dengan tujuh orang daripada satu keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol manakala 25 orang daripada enam keluarga di PPS Dewan Kampung Binsulung.

Seramai 30 orang daripada lapan keluarga di Beluran pula dipindahkan di PPS Dewan Kampung Balaban manakala mangsa banjir di Kota Marudu pula kekal 504 orang daripada 167 keluarga di dua PPS sejak petang tadi.

PPS SMK Tandek di Kota Marudu menempatkan 253 orang daripada 97 keluarga manakala 251 orang daripada 70 keluarga di Sekolah Kebangsaan (SK) Teritipan.

Sementara itu, hujan lebat berterusan bermula tengah hari hingga 4 petang tadi di Lahad Datu menyebabkan air Sungai Tengah Nipah naik mendadak dan menyebabkan banjir kilat di Kampung Keliatan dan Taman Khazanah Indah, namun banjir kilat itu surut lewat petang tadi.

Ketua Polis Daerah Beluran Supt Kasim Muda berkata paras air dilaporkan meningkat di 11 sungai di Beluran, melibatkan tiga kawasan terjejas banjir sehingga beberapa jalan utama dinaiki air.

Turut merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir malam ini adalah Johor dan Melaka manakala Pahang dilanda banjir gelombang kedua.

Di JOHOR, mangsa banjir di daerah Segamat dan Tangkak meningkat sedikit kepada 1,167 orang daripada 297 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 1,080 keluarga daripada 271 keluarga, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan dalam kenyataan berkata terdapat pertambahan satu PPS di Segamat iaitu Dewan Serbaguna Lagoh, sekali gus menjadikan keseluruhan 20 PPS dibuka di dua daerah itu.

"Satu PPS kekal dibuka di Tangkak iaitu Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan 31 orang daripada tujuh keluarga penduduk Kampung Sri Makmur," katanya.

Vidyananthan berkata dua sungai di Segamat melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dengan paras air pada 9.82 meter manakala Sungai Tangkak di Kampung Sri Makmur pada paras 4.29 meter.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 677 orang daripada 173 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 507 orang daripada 134 keluarga pada 4 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata lapan PPS dibuka di Alor Gajah iaitu di Balai Raya Gadek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, SMK Seri Pengkalan, Surau Kampung Jeram, SMK Lubok China, SK Belimbing Dalam, SK Alor Gajah 1 dan SK Durian Tunggal.

"Di Melaka Tengah, dua PPS dibuka iaitu SK Krubong dan SK Taman Merdeka manakala di Jasin membabitkan SK Parit Penghulu," katanya.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengesahkan banjir gelombang kedua telah bermula apabila beberapa daerah yang telah pulih kembali dinaiki air menyebabkan PPS di daerah tersebut kembali dibuka hari ini.

Seramai 155 mangsa banjir gelombang kedua ditempatkan di 24 PPS di Maran, Bera, Lipis dan Raub manakala Rompin yang tidak dilanda banjir sebelum ini, turut terjejas dalam gelombang kedua.

Di Bentong, Temerloh dan Pekan yang dilanda banjir sejak pertengahan Disember lepas, sebanyak 18 PPS masih beroperasi bagi menempatkan 1,542 orang yang belum dapat pulang ke rumah kerana belum selesai dibersihkan atau rosak teruk.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan lima sungai berada di paras bahaya dengan tiga daripadanya di Lipis iaitu Sungai Tanum di Chegar Perah, Sungai Kechau di Kampung Dusun dan Sungai Lipis di Benta selain Sungai Serting di Padang Gudang, Bera dan Sungai Luit di Maran.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi portal Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) di bawah NADMA menunjukkan jumlah mangsa banjir direkodkan adalah seramai 1,363 orang membabitkan 357 keluarga dengan 14 PPS dibuka melibatkan empat daerah iaitu di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin, setakat 9 malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir pula semakin berkurang kepada 147 orang daripada 44 keluarga malam ini berbanding 165 orang daripada 49 keluarga petang tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Lt Kol (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata penurunan itu susulan penutupan satu PPS di Dungun lewat petang tadi.

"Jumlah PPS ketika ini ialah tiga iaitu dua di Dungun dan satu di Kemaman dengan jumlah mangsa di kesemua PPS itu kekal sama seperti petang tadi.

"Di Dungun, Dewan Orang Ramai Kampung Shukor menempatkan 68 orang daripada 20 keluarga manakala Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja menempatkan 69 orang daripada 22 keluarga. Di Kemaman, 10 orang daripada dua keluarga ditempatkan di surau Kampung Ban Ho," katanya.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan stesen bacaan Sungai Terengganu di jambatan angkat merekodkan paras 1.85 meter, melebihi paras bahaya 1.8 meter.

Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman pula melepasi paras amaran.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir turut merekodkan penurunan setakat 9 malam ini dengan 308 orang daripada 109 keluarga ditempatkan di lima PPS di Kuala Krai dan Jeli berbanding 331 orang daripada 115 keluarga, petang tadi.

Portal JPS melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan empat sungai merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah serta Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan tiada lagi PPS beroperasi di negeri itu.

-- BERNAMA