Polis sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai menyamun rokok dengan memakai topeng dan bersenjatakan parang, di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Komersial Waterfront, Sungai Siput Utara dekat sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada pukul 7.40 pagi dan segera ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, dua suspek berusia lingkungan antara 20 hingga 30 tahun itu masing-masing yang mengenakan topeng 'halloween', memasuki ke dalam kedai berkenaan dengan membawa parang, lalu merampas kotak-kotak rokok yang diletakkan di bahagian kaunter juruwang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam tadi.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat seorang juruwang wanita berada di kaunter bayaran, manakala seorang lagi pekerja berada di dalam tandas.

Katanya kedua-dua suspek dipercayai melarikan kesemua kotak rokok pelbagai jenis bernilai RM2,000, dengan menaiki motosikal sebaik menyedari kehadiran orang awam.

Mohd Khaizam berkata kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kerana melakukan samun berkawan bersenjatakan parang.

Rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian dalam kedai serbaneka berdurasi 37 saat itu, menunjukkan dua suspek bertopeng dan mengacukan parang pada juruwang wanita, sambil merampas kotak-kotak rokok yang diletakkan pada bahagian belakang kaunter bayaran itu, mula tular di laman sosial sejak beberapa hari lalu.

-- BERNAMA