NATIONAL

Dua lelaki didakwa guna ‘notis saman’ palsu letak di kereta awam

Sinar Harian 26/05/2025 | 06:45 MYT
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes. -Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Dua pengurus program permotoran mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas dua pertuduhan menggunakan notis ‘Saman Hadir’ palsu menyerupai dokumen rasmi polis bagi menipu orang ramai, di dua tempat letak kereta, dua minggu lalu.


Ringkasan AI
  • Dua pengurus program permotoran mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menggunakan notis Saman Hadir palsu menyerupai dokumen rasmi polis untuk menipu orang awam di dua lokasi parkir pada 10 dan 11 Mei lalu.
  • Mereka didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Julai 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tan Kok Ho, 43 dan Denise Tan Ying Chyuan, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim dan Majistret, Illi Marisqa Khalizan.

Mengikut dua pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama menggunakan notis ‘Saman Hadir’ yang menyerupai notis rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM 170A) sedangkan mereka mengetahui dokumen itu palsu, dengan niat untuk menipu dan memperdayakan orang awam.

Kesalahan itu dilakukan di parkir sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang dan Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 10 Mei dan 11 Mei lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan dengan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal dan Syafika Azwa Fikri mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Phang Soon Mun yang mewakili dua lelaki itu merayu mereka dikenakan jaminan pada kadar rendah kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga.

“Kok Ho sudah berkahwin, mempunyai dua anak berusia lima dan tiga tahun sementara Denise mempunyai tiga anak berusia 10, 12 dan 14 tahun,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Atiqah dan Illi Marisqa membenarkan setiap tertuduh diberi ikat jamin berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 Julai depan.

Minggu lalu, tular video di media sosial, memaparkan seorang individu, telah menerima surat menyerupai kertas saman polis, di cermin depan kenderaan dan dia menyuarakan kebimbangan sekiranya ia merupakan taktik terbaharu 'scammer'. -Sinar Harian




#notis Saman Hadir palsu #dua lokasi parkir #Stadium Nasional Bukit Jalil #Tan Kok Ho #Denise Tan Ying Chyuan