Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

Dua lelaki didenda RM100,000 gagal lapor pemberian rasuah projek Lebuhraya MEX II

Bernama 02/10/2025 | 11:15 MYT
Hakim hukuman terhadap penjaga setor Lee Keng Long, 37, dan perunding bebas Chan Chee Keong, 67, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dan memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
KUALA LUMPUR: Dua lelaki masing-masing didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian suapan sebagai upah untuk tiga syarikat menjadi subkontraktor bagi projek Lebuhraya MEX II.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman terhadap penjaga setor Lee Keng Long, 37, dan perunding bebas Chan Chee Keong, 67, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dan memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Kedua-dua lelaki terbabit membayar denda tersebut.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita daripada kedua-dua tertuduh kepada kerajaan Malaysia melalui SPRM.

Mengikut pertuduhan, Lee didakwa diberi suapan wang tunai berjumlah RM500,000 oleh Lim Kim Hai, sebagai upah kepada tertuduh yang meminjamkan tiga syarikat miliknya iaitu Villas Hub Sdn Bhd, Jade Centennial Sdn Bhd dan Bidang Bakat Sdn Bhd kepada Lim untuk dijadikan subkontraktor kepada syarikat Golden Base Construction Sdn Bhd dengan melanggar peruntukan Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 [Akta 694].

Chan pula didakwa diberi suapan oleh individu sama iaitu wang tunai berjumlah RM1.4 juta sebagai upah bagi tertuduh menjadi orang perantara antara Boon Joon Siang dan Lim bagi mendapatkan tiga syarikat subkontraktor terbabit untuk syarikat Golden Base Construction dengan melanggar peruntukan serupa.

Kedua-dua tertuduh didakwa tidak melaporkan pemberian suapan itu kepada pegawai SPRM atau pegawai polis paling hampir, iaitu kesalahan tersebut dilakukan di sebuah syarikat perundingan di Mid Valley City, Lingkaran Syed Putra di sini, antara Jun 2017 dan Jun 2018, mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Lee yang semasa kejadian bekerja sebagai pengusaha lori sewa dan memiliki tiga syarikat iaitu Villas Hub, Jade Centennial dan Bidang Bakat dihubungi oleh kenalannya iaitu Ang Teck Ann untuk mengajaknya berjumpa Lim di sebuah kedai makan di Klang, Selangor sekitar Mei 2017.

Ang menceritakan kepada tertuduh bahawa beliau mempunyai seorang kenalan bernama Lim yang sedang mencari beberapa syarikat untuk digunakan dalam projek pembinaan lebuh raya, namun syarikat terbabit tidak perlu melaksanakan apa-apa kerja, hanya sekadar meminjamkan nama syarikat sahaja.

Sekitar 2017, Chan dihubungi kenalannya bernama Boon yang ketika itu merupakan Ketua Bahagian Kewangan di syarikat Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan dalam perbualan tersebut Boon memaklumkan kepada tertuduh bahawa pihak MHSB sedang mencari beberapa syarikat yang boleh dijadikan subkontraktor dalam kerja-kerja berkaitan projek pembinaan Lebuhraya MEX II.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi dan Nidzuwan Abd Latip manakala peguam K Ramalingan mewakili kedua-dua tertuduh.

-- BERNAMA



#projek Lebuhraya MEX II #denda #gagal lapor pemberian rasuah #SPRM