Dua lelaki direman bantu siasatan insiden panah anjing hingga mati

Adie Sufian Zulkefli
Mac 15, 2021 05:25 MYT
Kedua-dua suspek yang dibawa dengan menaiki trak polis tiba di Mahkamah Alor Setar kira-kira jam 10.50 pagi tadi. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Dua lelaki direman tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac bagi membantu siasatan kes memanah seekor anjing sehingga mati di Kampung Berjaya, dekat Alor Setar.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Liyana Abd Rahim di sini hari ini.
Kedua-dua suspek sebelum itu dibawa dengan menaiki trak polis tiba di Mahkamah Alor Setar kira-kira jam 10.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua suspek ditahan secara berasingan pada jam 4 dan 5 petang semalam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Katanya, suspek pertama berusia 30-an ditahan di sebuah kelab golf di Jitra pada jam 4 petang.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis merampas dua busur panah dan satu tabung pengisi anak panah berwarna hitam berserta 21 anak panah yang ditemui di rumah suspek pertama.
Susulan itu, suspek kedua berusia 20-an ditahan di tepi jalan di Kampung Hilir, Kepala Batas, kira-kira jam 5 petang.
Suspek pertama berasal dari rumah pangsa Seberang Terus, Mergong manakala suspek kedua berasal dari Bukit Pinang.
Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.
Tangkapan terhadap kedua-dua suspek dilakukan kerana terbabit dalam kes melakukan penganiayaan terhadap haiwan.
Panah Anjing | Pemanah ditahan polis
Kedua-dua suspek diserah kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015/ Seksyen 45 Akta Binatang 1953.
Dalam kejadian Khamis lalu Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kedai berhampiran lokasi kejadian berjaya merakam perlakuan seorang lelaki memegang alat memanah dan memanah seekor anjing antara jam 4.21 pagi hingga 5.26 pagi.
Suspek kemudiannya dilihat meninggalkan lokasi itu dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja.
#panah anjing #lelaki panah anjing direman #penganiayaan terhadap haiwan #suspek panah anjing #CCTV #Alor Setar #Dadah