KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemukan di sebuah hotel di Sunway Mentari, Petaling Jaya, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata kedua-dua suspek berusia 20 hingga 30-an itu ditahan susulan maklumat pertama yang diterima polis pada 11.23 malam berkaitan seorang lelaki tempatan yang tidak sedarkan diri di hotel berkenaan.
"Setibanya di lokasi, polis menemukan mangsa yang berusia lingkungan 30-an dalam keadaan tidak bernyawa. Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh badan si mati.
"Pihak polis turut merampas beberapa barang kes di lokasi kejadian yang dipercayai boleh membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata hasil bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan cedera parah akibat impak objek tumpul.
Beliau berkata hasil semakan mendapati kedua-dua lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
"Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat hari ini dan mahkamah membenarkan reman selama tujuh hari sehingga 16 Julai depan," katanya.
Beliau berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan suspek lain yang dipercayai terlibat.
Shamsudin meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-6303090.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan apa-apa bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.
-- BERNAMA