Dua lelaki ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini bagi membantu siasatan kes pesta sukan bogel yang didakwa diadakan di Pantai Teluk Kampi dalam kawasan Taman Negara Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata dua lelaki terdiri daripada rakyat tempatan dan Singapura berusia 34 dan 41 tahun itu masing-masing direman sehingga 17 dan 18 Ogos bagi membantu siasatan kes itu.

"Lelaki Singapura berusia 41 tahun dan bekerja sebagai jurugambar bebas itu menyerah diri pada Rabu manakala rakyat tempatan yang merupakan peniaga di Kuala Lumpur menyerah diri semalam (Khamis)," katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) ACP Shafien Mamat di sini hari ini.

Pesta sukan bogel itu mula diperkatakan apabila video berdurasi lima minit 52 saat bertajuk 'Pesta Bogel di Teluk Bahang, Pulau Pinang' tersebar secara meluas di laman sosial, yang memaparkan sembilan lelaki dan enam wanita melukis badan dalam keadaan bogel, menari serta mengadakan acara sukan di Pantai Teluk Kampi.

Beliau berkata siasatan polis juga mendapati sembilan daripada peserta pesta itu turut menjalankan beberapa aktiviti secara bogel di sebuah inap desa di Bukit Genting, Balik Pulau sehari selepas di Pantai Teluk Kampi.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, sembilan daripada mereka menjalankan aktiviti pesta bogel di sebuah kebun durian yang turut mempunyai inap desa iaitu pada 31 Mei hingga 1 Jun.

"Seterusnya, sebahagian peserta berkenaan menyertai program pesta bogel antarabangsa di Pattaya, Thailand pada 6 hingga 8 Jun lepas," katanya.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti kesemua 15 peserta terdiri daripada tujuh warga tempatan, empat dari Singapura, dua (Myanmar) dan masing-masing seorang dari India dan Filipina.

Abdul Rahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengenai kesopanan di tempat awam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang terlibat juga boleh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, katanya.

Beliau berkata dengan penahanan dua lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes itu dalam tempoh terdekat dan usaha mengesan 13 lagi peserta pesta giat dijalankan.

Polis turut meminta seorang lelaki Justin Ang Ji Keng, 24, yang beralamat terakhir di no 65, MJ 11, Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka, tampil bagi membantu siasatan kes itu.

Beliau berkata setakat ini, polis telah merekod keterangan daripada 20 individu termasuk yang terbaharu pemilik inap desa di Balik Pulau.